June 14, 2010

warkah seorang ayah

-Al~Fatihah... akhirnya pada usia 150 hari, anakku mengadap Pencipta-nya

A'kum w.b.t...

Setelah bertarung dengan penyakit yang secara purata pengidapnya hanya
dapat bertahan setakat 2 minggu selepas dilahirkan
(hypophosphatasia-komplikasi dengan kandungan kalsium dalam tulang
belakang), akhirnya perjuangan Alesha Abriza, satu-satunya permata
hatiku berakhir sebaik sahaja azan subuh 13 Mei 2006 (15 Rabiulakhir
1427) berakhir. Pada subuh itu, genap usianya 150 hari di muka bumi
ini. Dari jumlah itu, hanya 2 hari beliau berada disisi kami di rumah
dan selebihnya di wad NICU Hospital Putrajaya dan Hospital Seremban.

Alesha tetap memberikan senyuman kepada kami disaat-saat akhir
kehidupannya. Beliau tidak pernah menyusahkan kami malahan doktor dan
jururawat yang merawatnya.

Dimalam terakhir hayatnya, Alesha langsung tidak menganggu kami.
Sepanjang malam itu, Alesha tidur dengan amannya. Pada pukul 4.40 pagi,
Alesha mulai menunjukkan tanda-tanda akan meninggalkan kami selamanya.
Tubuh badannya mulai membiru dan menjadi sejuk. Pihak hospital
memberikan ruang kepada kami anak beranak untuk bersendirian. Kami
bertiga, Alesha, isteriku dan aku sendiri berpelukkan dan membisikkan
kalimah tauhid di telinganya.

Sejenak sebelum Alesha menghembuskan nafasnya, azan subuh berkumandang.
Isteriku memohon pada Alesha, katanya: "Lesha sebelum pergi senyumlah
pada mama... mama dan papa redha Alesha pergi... senyumlah sayang".
Kata-kata itu akan menjadi tangkal bagi saya selama-lamanya.

Seolah-olahnya Alesha Abriza faham akan permintaan dari ibunya itu.
Alesha telah menoleh pada ibunya, memberikan sekuntum senyuman yang
paling manis buat ibunya, jelas juga kelihatan setitik air matanya
mengalir di penjuru matanya, sebelum nafas terakhirnya diragut! Maka
sempurnalah sudah rahmat Allah kepada hambaNya pada pagi itu.

Impian isteriku untuk memandikan Alesha akhirnya terlaksana jua setelah
tidak berkesempatan memandikannya sewaktu hayat Alesha. Pagi itu,
jenazah Alesha dimandikan sendiri oleh ibunya. Sebaik sahaja jenazah
Alesha dikapankan, kami telah dibenarkan untuk menciumnya. Sungguh
tidak tertahan-tahankan air mataku mengalir ketika mencium dahi kecil
Alesha dan membisikkan kata-kata tauhid di telinga arwah serta
menyatakan bertapa aku terlalu sayangkannya, aku redha pemergiannya dan
aku akan terus menganggapnya sebagai anak sulungku selamanya!

Sewaktu jenazah disolatkan, ramai yang memohon agar aku sendiri
mengimamkan solat jenazah. Namun aku takut tidak termampu nanti untuk
membaca ayat-ayat Allah dengan betul mahupun takut tidak termampu untuk
membaca doanya kerana terlalu pilu. Aku cuma mampu berdiri di shaf
hadapan sahaja ketika itu. Bersolatpun dengan cucuran air mata yang
tidak tertahan-tahan. Satu kejadian yang kurasakan istimewa pada masa
itu adalah, sebaik imam mengangkat takbir, hujan turun dalam suasana
mendung.
Seakan-akan menangisi pemergian seorang bidadari syurga. Hujan tersebut
betul-betul terhenti sebaik sahaja jenazah selamat dikuburkan dan doa
arwah selesai dibacakan!. Mungkin itu satu petanda rahmat dari Allah
untuk bayi yang tidak berdosa itu.

Di tanah kuburan, aku sendiri menyempurnakan pengebumian arwah. Aku
sendiri menunggu arwah di liang lahad, aku sendiri melonggarkan ikatan
kain kafannya, dan aku sendiri membuka penutup mukanya. Saat itu, saat
ku buka penutup muka arwah, jelas kelihatan rupa Alesha yang tersenyum.
Satu senyuman yang maha indahnya. Muka Alesha juga amat cantik dan
berseri-seri. Indah bercahaya rupanya sehinggakan tika aku merapatkan
mukanya ke tanah di dalam lubang lahatnya, masih jelas kelihatan cahaya
dari mukanya.

Satu lagi peristiwa yang kurasakan agar istimewa berlaku. Tika kuburan
selesai ditutup, saat menunggu imam membacakan doa bagi arwah (talkin
tidak dibacakan kerana Alesha seorang bayi), jelas kedengaran di
telingaku suara seseorang berkata: "Dua bidadari syurga sedang
menunggunya...
janganlah kamu risau." Suara itu amat jelas kedengaran seolah-olah
bercakap kepada semua yang hadir pada masa itu. Selesai pengebumian,
saya bertanya pada isteri dan ahli keluarga semuanya tidak
mendengarkannya.
Semoga, Alesha beroleh rahmat Allah.

Saya bersyukur kerana diberikan peluang untuk menjadi seorang ayah,
walaupun hanya seketika. Saya berpeluang merasa menjaga isteri ketika
mengandung dan berpantang. Semua pengalaman itu telah menjadi rahmat
yang tidak terhingga dari Allah. Insyallah, saya masih bersedia untuk
mengulanginya.

Al-Fatihah untuk Alesha Abriza binti Shamsul (15 Dis 2005 - 13 Mei
2006)

shamsul shamdin @ laloque

p/s: abah, happy daddy's day..

No comments: